Noniswara Dituduh Sewel Gara-Gara Kes Cerai
Noniswara mahu menyelesaikan kes penceraiannya secepat mungkin.
PETALING JAYA: Dramatis Noniswara kecewa apabila ada pihak melemparkan kata-kata negatif kononnya dia enggan berpisah dengan suaminya selepas menarik balik permohonan cerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah dekat sini pada 18 April lalu.
Nonis atau nama sebenarnya, Monis Wara Baharudin, 43, berkata, keputusannya itu mengundang persepsi tidak benar sesetengah pihak yang beranggapan dia seperti mahu berbaik-baik dengan suaminya, Datuk Rosman Ridzwan.
"Saya menarik balik tuntutan itu kerana tidak mendapat kerjasama suami untuk bercerai secara baik di mahkamah apabila dia enggan menerima surat saman atau hadir ke mahkamah bagi menyelesaikan kes kami.
"Ramai menyangka saya tidak jadi bercerai dan mula melemparkan kata-kata negatif dengan mengatakan saya perempuan 'ting tong', 'sewel' dan 'gila talak'," jelasnya .
Tambah Nonis, dia dan peguamnya, Datuk Amli Embong telah berbincang untuk menuntut penceraian secara fasakh terhadap Rosman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan hampir setahun.
"Saya mahu bercerai secara baik dan enggan kisah 'dalam kain' dibongkar di mahkamah tetapi dia enggan memberikan kerjasama dan mengelak daripada menyelesaikan masalah.
Maznah dikaitkan dengan keretakan rumah tangga dramatis itu dengan suaminya.
"Ini jalan yang terpaksa dipilih (tuntutan fasakh)," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai laporan sebuah akhbar pada Ahad yang mengaitkan pelakon Maznah Zulkifli sebagai orang ketiga kepada keretakan rumah tangganya, Nonis enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
Jelasnya, apa yang lebih penting sekarang dia dapat menyelesaikan masalah rumah tangganya dengan segera dan tidak mahu memikirkan soal lain buat ketika ini.
"Saya tidak mahu mengulas kerana tidak mahu ia menjadi bertambah buruk tambahan pula ia bukan urusan saya. Apa yang penting sekarang kes penceraian saya dapat diselesaikan dengan baik.
"Dengan wanita mana dia (suami) mempunyai hubungan ia tiada kaitan dengan saya," katanya.
Nonis dan Rosman telah mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009.
Pelakon yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya sementara Rosman pula yang sebelum itu berstatus duda memiliki lima anak daripada perkahwinan terdahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan