Rabu, 19 April 2017

Murid Cedera Kena Objek Terbang



BALING – Seorang murid sebuah sekolah di sini, menerima 14 jahitan di muka apabila sebuah objek terbang mengenai mukanya ketika dia bersama dua rakannya dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di padang sekolah, kira-kira jam 1.30 petang Selasa lalu.

Nor Alia Shamimi Muhamad Jefri@Mimi, 10, cedera dan mengalami pendarahan teruk di muka, selain patah tulang hidung setelah objek itu secara tiba-tiba mengenai tepat ke mukanya.
Keadaan itu mengakibatkan anak kedua dari tiga beradik itu hampir pengsan dan terpaksa bertahan pada tiang gol bola sepak, sementara menunggu dua rakannya, Nur Ainul Madiah Mohd Karim, 10, dan Nuraidah Taqifah Samsuri, 10, memaklumkan kejadian itu kepada guru mereka.
“Mimi tak tau nak buat apa, Mimi terus nangis dan jerit panggil ibu. Memang sakit, rasa kebas satu muka. Mimi tinggal sorang diri sebab dua kawan lain lari untuk beritahu kepada guru dan ibu Mimi,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Terbak, Mukim Siong, di sini, semalam.
Selepas beberapa minit menahan kesakitan, Mimi dibawa gurunya ke Hospital Baling seterusnya dihantar ke Hospital Sungai Petani.
Ditanya objek apakah yang mengenai mukanya itu, Mimi berkata, dia tidak tahu kerana terus rebah setelah objek tersebut mengenai mukanya.
“Tapi, kawan cakap, objek itu datang dari traktor mesin rumput kat padang. Mereka nampak objek itu keluar dari tayar traktor dan terus terbang ke arah kami.
“Dua rakan Mimi sempat elak, tapi Mimi tak nampak objek itu, sebab itu objek itu terus kena muka Mimi. Lagipun traktor itu tak berapa jauh dengan kami,” katanya.
Sementara itu, ibunya, Mazlina Md Desa, 40, berkata, doktor memaklumkan kedalaman luka anaknya itu hampir dua sentimeter dan terdapat sedikit retakan di bahagian tempurung kepala.
Menurutnya, anaknya itu akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah dalam beberapa minggu lagi untuk pemeriksaan di kepala. – Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan