Khamis, 6 April 2017

Angkara Bendera: Leher remaja parah tertusuk buluh




ARIF yang cedera di leher akibat tertusuk batang buluh dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan semalam.


KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki cedera di leher akibat tertusuk batang buluh yang digunakan untuk memacak bendera sebuah parti politik yang terlanggar motosikal yang ditunggangnya di Kampung Mak Mayung, Melor di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8 malam, Mohamad Arif Fikri Rosli, 14, terpaksa menerima 20 jahitan di lehernya akibat tertusuk batang buluh yang patah dan terbelah condong ke arah jalan raya di sebuah jambatan kecil di kampung itu.

“Mangsa ketika itu menunggang motosikal bersama rakannya untuk pergi ke sebuah kampung berhampiran bagi menikmati jamuan ayam bakar yang dianjurkan sebuah parti politik.

“Namun ketika melalui sebuah jambatan kecil di kampung yang agak gelap, batang buluh condong itu menusuk ke leher Arif,” kata ibu mangsa, Rohana Yusuf, 58, ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian semalam.

Menurut wanita itu, anaknya yang terasa sesuatu melekat pada lehernya terus memberhentikan motosikal sebelum dia terkejut apabila menyedari ada batang buluh terlekat di lehernya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan